Wednesday 15 May 2013

Panduan Untuk Memulakan Perniagaan Pasar Malam



Perniagaan Pasar Malam merupakan satu perniagaan yang boleh dimulakan dengan modal yang tidak besar. Kadar purata modal pusingan untuk memulakan perniagaan air soya di pasar malam contohnya memerlukan modal sekitar RM300 hingga RM1000 sahaja. Kadar keuntungan bergantung kepada jenis barang atau produk yang anda jual. Produk makanan dan minuman biasanya boleh memberi kadar keuntungan sehingga mencecah 100% hingga 200% daripada modal yang dibelanjakan. Produk pakaian pula mungkin akan memberikan kadar keuntungan yang lebih rendah sekitar 30% hingga 70%. Walaupun kadar keuntungan yang lebih rendah, risiko pembaziran pula lebih minima kerana produk pakaian tidak akan busuk dan tidak perlu dibuang jika tidak dapat dijual seperti produk makanan.


1) Produk


Oleh itu, pemilihan produk yang sesuai amatlah penting sebelum memulakan perniagaan pasar malam. Walau bagaimanapun, anda dinasihatkan untuk membuat semakan menyeluruh sebelum membuat keputusan untuk memilih sesuatu produk.

Adalah lebih baik jika anda mempunyai pengetahuan dan selok belok menjual produk pilihan anda. Contohnya anda memang seorang pakar memasak oleh itu anda seharusnya memilih produk makanan untuk dijual. Jika anda seorang yang pentingkan gaya dan suka membeli pakaian, produk pakaian mungkin pilihan yang sesuai untuk anda.

Walau bagaimanapun, jika anda tidak ada kepakaran, tidak ada pengetahuan tentang sesuatu produk anda juga masih boleh menceburi perniagaan pasar malam. Ini adalah kerana banyak produk yang dibekalkan oleh pembekal untuk dijual. Contohnya keropok lekor, kerepek, air soya dan produk soya yang lain, ayam goreng ala barat, kentang goreng, buah-buahan, sayur-sayuran, produk makanan sejuk beku, produk makanan laut dan banyak lagi. Anda juga boleh mencari maklumat tentang produk makanan yang disebutkan tadi di laman sesawang. Banyak pembekal akan memberi maklumat termasuk gambar dan terma-terma yang perlu anda patuhi jika berhajat untuk menyertai kumpulan pembekal tersebut. Jika cara ini yang anda pilih, anda mungkin dimestikan oleh pembekal untuk membeli beberapa alatan yang mereka sediakan untuk tujaun promosi ataupun keseragaman. Biasanya produk-produk yang dibeli daripada pembekal-pembekal ini sudah pun diterima oleh banyak pelanggan. Oleh itu anda pasti tidak akan susah untuk menjual produk tersebut.

Semakan yang anda perlu lakukan selain daripada produk yang hendak dijual ialah lokasi pasar malam, kemudahan kawasan sekitar pasar malam, penganjur yang menguruskan pasar malam tersebut, sambutan pengunjung dan sikap para peniaga yang lain.



2) Lokasi


Kebanyakan buku yang diterbitkan di pasaran mengenai perniagaan akan menitik beratkan lokasi satu perniagaan adalah faktor yang penting untuk memulakan perniagaan samada perniagaan pasar malam ataupun perniagaan dari premis. Kebanyakan pasar malam yang sudah lama beroperasi menunjukkan lokasinya yang betul. Oleh itu anda perlu memikirkan jarak lokasi pasar malam dengan tempat kediaman anda supaya kos pengangkutan anda dapat dikurangkan.



3) Kemudahan Awam


Kenapakah kemudahan kawasan sekitar pasar malam itu penting? Ini adalah kerana anda akan berada dilokasi pasar malam untuk sekurang-kurangnya 5 jam. Sepanjang waktu itu, berkemungkinan anda akan memerlukan kemudahan awam seperti tandas atau surau. Anda perlu teliti laluan untuk pengunjung yang disediakan. Laluan yang sempit akan menyusahkan pengunjung untuk membeli produk anda. Jika ini keadaanya, anda perlu memikirkan cara bagaimana untuk menarik perhatian serta memberi keselesaan kepada pelanggan anda nanti.



4) Hubungan dengan Penganjur


Penganjur yang menguruskan pasar malam pada kebiasaanya bertanggungjawab menolong peniaga-peniaga. Berbincanglah dengan wakil penganjur semasa anda membuat kaji selidik di lokasi tersebut. Anda boleh mengumpul banyak maklumat dari penganjur kerana mereka tentunya mengetahui masalah peniaga dan juga masalah lain daripada pelanggan. Yuran serta tapak yang kosong untuk anda berniaga akan ditentukan oleh penganjur. Terdapat juga segelintir penganjur yang kurang membantu. Ini adalah salah satu cabaran yang anda perlu harungi. Apa yang penting ialah anda perlu berkomunikasi dengan pihak penganjur dengan keadaan berhemah. Kata orang masuk kandang kambing perlulah kita mengembek.



5) Kaji Selidik terhadap Sambutan


Sambutan pengunjung ke lokasi pasar malam yang anda selidik perlu diperhati dan direkodkan. Jika produk yang anda ingin pasarkan sudah dijual oleh peniaga yang lain, anda perlu memerhati dan membuat kaji selidik jualan yang mereka perolehi sepanjang anda berada di sana. Jangan sampai peniaga tersebut sedar yang anda sebenarnya memerhati dan ingin mengetahui selok belok perniagaan mereka pula !



6) Keperluan Perniagaan

Selain produk utama yang anda hendak jual, keperluan asas yang lain yang anda perlukan ialah barang-barang sokongan seperti alatan dan kelengkapan untuk memasak jika produk anda adalah produk makanan, alat dan kelengakapan untuk mempamer produk pakaian jika produk anda adalah pakaian, meja, khemah, lampu, mesin penjana kuasa elektrik (“generator’) dan plastik atau kertas untuk membungkus dan lain-lain. Barang-barang sokongan seperti kertas pembungkus dan sebagainya boleh juga diperolehi semasa di lokasi pasar malam kerana terdapat segelintir peniaga yang menjual produk-produk ini untuk dijual kepada peniaga pasar malam demi kemudahan mereka.



7) Pengangkutan


Anda juga perlu memikirkan apakah jenis pengangkutan yang anda mahu guna untuk mengangkut produk anda dari rumah ke lokasi pasar malam. Jika modal berkurangan, anda boleh menggunakan pengangkutan yang sedia ada. Walau bagaimanapun, banyak kenderaan yang lama dan sesuai untuk mengangkut barangan. Kebanyakan kereta lama atau van harganya sekitar RM1,000 sahaja. Maklumat ini juga boleh anda perolehi semasa anda berkunjung dan membuat kaji selidik di pasar malam. Perlu juga diketahui bahawa kos untuk menyelenggara kenderaan lama ini mungkin agak tinggi. Oleh itu adalah amat penting untuk anda membuat pembandingan kos samada untuk membeli kenderaan lama ataupun menggunapakai kenderaan anda yang sedia ada.



8) Sikap


Sikap peniaga pasar malam akan menjadi salah satu faktor utama. Apabila anda ingin menjadi peniaga yang berurusan secara langsung dengan pelanggan, anda mestilah mempunyai perwatakan yang mesra dan disenangi. Anda mesti menunjukkan cara yang baik semasa melayan pelanggan anda. Penampilan diri mestilah sesuai dengan keadaan. Pakaian yang kemas, selesa dan bersih. Anda perlu patuhi undang-undang untuk mengendalikan produk yang dijual terutamanya jika anda menjual produk makanan atau minuman. Jangan menjual barang-barang yang sudah tamat tarikh luput.

Jika anda menjual produk pakaian, anda perlu fikirkan kemudahan untuk pelanggan mencuba pakaian yang mereka inginkan. Anda mungkin boleh menyediakan tempat khas yang selesa, tidak perlu besar tetapi cukup untuk tujuan pelanggan mencuba sahaja.



9) Senarai Pasar Malam


Di zaman yang canggih teknologi maklumat, anda boleh menyemak senarai pasar malam di laman sesawang Majlis Daerah. Kebanyakan Majlis Daerah menyenaraikan butiran pasar malam di bawah jajahannya. Butiran yang dipamirkan termasuk lokasi dan jadual pasar malam beroperasi. Dengan adanya senarai yang sedemikian, anda boleh merancang lebih awal untuk membuat kaji selidik terhadap sesebuah lokasi pasar malam yang menjadi sasaran anda.

Awas! Anda mesti ingat bahawa anda perlu melengkapkan diri dengan senarai semak yang anda sudah siapkan sebelum turun padang membuat kaji selidik. Jika tidak usaha anda tidak akan membuahkan hasil yang diingini.



10) Maksimumkan Untung


Dalam setiap perniagaan, formula untuk meraih untung yang banyak ialah dengan cara mendapat untung yang banyak dan mengamalkan teknik-teknik yang betul untuk mengurangkan kerugian. Apabila untung yang anda dapat adalah maksima dan kerugian dikurangkan, anda akan dapat melonjakkan lagi untung bersih terkumpul dalam suatu tempoh yang tertentu.

Bagaimana pula caranya untuk memaksimumkan untung perniagaan anda? Pertama sekali, stok yang dibeli dalam jumlah yang banyak selalunya akan dijual dengan harga diskaun. Gunakan kepakaran tawar menawar untuk mendapat harga barangan yang lebih rendah. Buat kaji selidik harga stok daripada beberapa pembekal supaya anda boleh membuat perbandingan dan memilih untuk membeli daripada pembekal yang sesuai. Pilihan inilah yang akan menurunkan kos anda. Apabila anda berurusan dengan ramai pembekal, anda mempunyai kuasa untuk memilih pembekal yang boleh menawarkan harga yang lebih rendah.



11) Hubungan dengan Pembekal


Hubungan dengan pembekal juga mesti dipupuk dan dijaga kerana kebanyakan pembekal akan memberi anda kemudahan kredit untuk membayar barang yang dibeli. Jika anda mendapat kemudahan kredit tanpa bayaran faedah, anda akan dapat menambah barangan untuk dijual dan atas sebab itu anda mempunyai peluang untuk membuat untung yang lebih. Sesetengah pembekal juga akan menyediakan khidmat penghantaran jika anda membeli stok dalam jumlah tertentu. Jadi gunakanlah kemudahan ini supaya kos pengangkutan anda dapat dikurangkan. Ya! Anda mesti bijak dalam meguruskan kos perniagaan anda.



12) Minimumkan Kerugian


Selain memaksimumkan keuntungan, anda juga perlu memikirkan cara untuk meminimakan kerugian dalam perniagaan. Pembaziran mesti dielakkan. Jika anda menjual produk makanan, anda dinasihatkan untuk membeli stok yang cukup untuk hari perniagaan sahaja. Stok boleh dibeli dengan banyak jika anda mempunyai tempat simpanan sejuk beku yang cukup. Begitu juga jika anda memilih untuk menjual produk pakaian. Jika produk pakaian yang tidak bermusim, anda tidak perlu risau untuk membeli stok yang banyak. Akan tetapi jika produk pakaian anda jenis yang mengikut musim, anda perlu membuat kaji selidik yang lebih terperinci supaya stok tidak berlebihan dan menyebabkan pembaziran. Apabila wang modal anda tidak terjual, anda akan rugi kerana tidak boleh menggunakannya untuk meraih untung.

Berhati-hati dengan stok yang lama. Anda perlu tahu sikap pembekal. Jangan mudah tertipu. Apabila barang yang digunakan sudah melebihi tarikh luput, bukan sahaja pelanggan akan marah anda juga mungkin akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa.



13) Etika Berniaga


Lain-lain faktor yang perlu dipraktikkan untuk memajukan perniagaan pasar ialah etika berniaga semasa melayan pelanggan. Kemahuan dan kehendak pelanggan perlu anda titik beratkan. Anda perlu ingat bahawa pelanggan yang berpuashati akan kerap datang ke gerai anda dan membeli produk anda. Selain dari itu, niat yang betul untuk berniaga juga adalah penting. Keikhlasan berniaga bermaksud anda akan menyediakan produk yang berkualiti. Contohnya jika anda menjual produk makanan, anda perlulah menyediakan produk anda dengan bahan yang baik dan tidak busuk, cara memasak yang bersih supaya tidak menyebabkan pelanggan sakit dan sebangainya. Lagipun jika makanan yang anda jual sedap berbanding dengan penjual yang lain, pelanggan akan memberitahu rakan-rakan yang lain. Ini akan membantu anda mengurangkan kos promosi. Pujian dari mulut ke mulut adalah cara yang paling berkesan untuk meningkatkan jualan produk anda.


No comments:

Post a Comment